Sunday, April 22, 2012

Isu Berkaitan Dengan Bidang Teknologi dan Inovasi Dalam Pendidikan.

Isu: Penggunaan Teknologi  Pada Masa Depan

Pada masa depan, teknologi akan mendominasi bukan sahaja dalam bidang pendidikan malah turut mempengaruhi  dalam bidang perdagangan dan industri. Perubahan dunia yang pesat ini memerlukan penggunaan teknologi yang efisien kerana segalanya diperlukan dengan cepat dan mudah.  Penggunaan teknologi pada masa depan juga akan menjadi lebih spesifik kerana melibatkan kajian, teori dan hipotesis. Melalui pendapat ini, dapat dibuat andaian bahawa guru-guru pada masa depan bukan sahaja perlu menghasilkan bahan pembelajaran dan pengajaran berasaskan teknologi, malahan bahan tersebut perlu dibuat kajian saintifik supaya dapat dibuktikan keberkesanannya. Terdapat banyak cabaran bagi meningkatkan penggunaan teknologi di kalangan guru untuk kebaikan masa depan.

Cabaran pertama ialah langkah-langkah yang yang boleh diambil bagi menggalakkan guru menghasilkan bahan pengajaran berasaskan teknologi. Salah satu langkah yang boleh diambil ialah membuat pemilihan kajian tindakan berdasarkan bahan pengajaran teknologi terbaik di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Melalui pemilihan ini, setiap sekolah perlu menghantar satu bahan pengajaran berasaskan teknologi bagi pemilihan di peringkat daerah. Bahan pengajaran yang terbaik akan dipertandingkan di peringkat negeri dan seterusnya di peringkat kebangsaan. Sepuluh  bahan  terbaik diperingkat kebangsaan akan dikumpulkan melalui CD dan disebarkan di seluruh negara.



Cabaran kedua ialah meningkatkan tahap pengetahuan teknologi di kalangan guru. Peningkatan ilmu pengetahuan guru tentang komputer dan ICT juga akan meningkatkan penggunaan teknologi di kalangan guru. Antara langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan tahap pengetahuan guru dalam bidang teknologi  ialah  mewajibkan bakal guru di universiti mengambil dua atau tiga kertas berkaitan komputer sebagai teras. Tujuan utamanya supaya setiap bakal guru mempunyai kepakaran ilmu yang khusus dalam bidang komputer yang boleh diketengahkan di university seperti multimedia, animasi, pengaturcaraan permainan komputer dan sistem maklumat geografi (GIS).



Cabaran ketiga ialah meningkatkan sikap positif di kalangan guru bagi menggunakan teknologi dalam pendidikan. Sikap positif di kalangan guru akan dapat meningkatkan penggunaan teknologi di dalam proses pembelajaran dan pengajaran.  Sikap positif di kalangan guru tentang keperluan penggunaan teknologi ini perlulah dibentuk untuk jangka panjang dan bukannya dibentuk jangka pendek. Sikap positif jangka panjang ini hanya dapat dibentuk jika guru tersebut mempunyai motivasi intrinsic iaitu motivasi yang terbit dari dalam diri dan bukannya kerana faktor luaran seperti anugerah atau kenaikan gaji.  Bagi mewujudkan sikap positif jangka panjang guru terhadap teknologi dalam pendidikan ini dengan menyedarkan guru-guru tersebut betapa pentingnya penggunaan teknologi ini dengan member penerangan atau lebih baik membuat lawatan ke sekolah-sekolah malahan negara-negara yang telah berjaya melaksanakan teknologi dan inovasi dalam pendidikan.

Cabaran keempat ialah kelengkapan dan kemudahan di sekolah akan meningkatkan penggunaan teknologi dalam pendidikan di kalangan guru. Kementerian pelajaran sebenarnya telah pun menyediakan keperluan-keperluan asas ini di setiap sekolah seperti membina makmal komputer, membekalkan komputer, LCD dan  kemudahan internet. Perkara yang menjadi masalah di sini ialah kelengkapan dari segi komputer dan peralatan terkini atau membaik pulih komputer yang rosak. Bagi mengatasi masalah ini, pihak sekolah hendaklah mempunyai inisiatif dengan mendapatkan bantuan daripada pihak PIBG atau pun membuat hari tertentu seperti hari kantin bagi mendapat kewangan untuk melengkapkan sekolah dengan memudahan terkini. Guru sendiri juga hendaklah mempunyai peranan dan rasa tanggungjawab untuk menyediakan keperluan ini tanpa menunggu bantuan daripada pihak lain. Contohnya membeli sendiri komputer riba dan menggunakannya di dalam proses pembelajaran dan pengajaran.



Cabaran kelima ialah peranan pentadbiran dalam menggalakkan guru menggunakan teknologi  dalam pendidikan. Antara langkah biasa yang boleh dilakukan pihak pentadbir sekolah dengan memberi anugerah kepada guru-guru yang aktif menghasilkan bahan-bahan teknologi dalam pendidikan. Namun cara ini bersifat motivasi luaran. Cara lain ialah pihak pentadbir menggunakan sebahagian besar pengurusan dan petadbiran sekolah  menggunakan teknologi maklumat. Contohnya sekolah mempunyai laman web sendiri dan melalui web tersebut juga disediakan ruangan bagi guru-guru di sekolah tersebut. Maklumat-maklumat tertentu seperti minit mesyuarat, bahan-bahan pengajaran, markah pelajar hendaklah boleh diakses melalui laman web ini. Jika perkara ini berjaya dilaksanakan, maka akan membudayakan penggunaan teknologi di kalangan guru.

Cabaran-cabaran di atas perlu diatasi dengan  bijak untuk menghadapi gelombang teknologi pada masa depan. Bagi menghadapi gelombang ini maka sangat perlu maktab-maktab perguruaan atau di university-universiti menyediakan kurikulum yang dapat melahirkan golongan pendidik berkemahiran dalam rekabentuk instruksional.  Penekanan yang serius terhadap teknologi dalam proses pembelajaran dan pengajaran perlu dilakukan. Jika perkara ini dipandang ringan, kita akan ketinggalan jauh dari segi pendidikan berbanding negara-negara lain. Ini kerana memang tidak dinafikan penggunaan teknologi dapat menjadikan pelajar memahami sesuatu topik dengan lebih cepat dan menghasilkan pencapaian yang lebih baik. 



8 comments:

  1. Pada pendadat saya, masalah utama yang paling mencabar penggunaan teknologi dalam bidang pendidikan ialah kualiti guru yang tidak memuaskan. Guru atau pengajar merupakan ejen pengerakan yang penting dalam penggunaan teknologi dalam bidang pendidikan; Namun demikian, guru-guru tidak dapat menguasai pengetahuan tentang bidang teknologi dan tidak mempunyai keyakinan diri untuk meperolehi ilmu yang baru. Kesimpulannya, guru-guru perlu mempunyai persediaan dan motivasi dalam menerima ilmu teknologi bagi mendorong bidang pendidikan mencapai tahap yang lebih cemerlang dengan penggunaan ilmu tersebut.

    ReplyDelete
  2. Pada hari ini, revolusi dalam bidang teknologi dan ICT sedang kiat berkembang dengan pesatnya. Perkembangan ini telah memberikan impak yang besar kepada pelbagai bidang yang ada di negara kita. Ia disebabkan keupayaan teknologi yang diperkenalkan berjaya memberikan kesan yang diinginkan masyarakat hari ini iaitu, cepat, mudah dan praktikal. Bidang pendidikan juga tidak ketinggalan dalam mengaplikasikan kecanggihan teknologi bagi meningkatkan mutu pendidikan.
    Kesedaran dikalangan warga pendidik, pelajar dan juga ibubapa penting dalam memastikan penggunaan teknologi dan inovasi dalam pendidikan menjadi rutin dalam rutin harian. Golongan-golongan ini perlu diberi kesedaran bagi meningkatkan pengetahuan mereka tentang kepentingan serta keberkesanan pendidikan dengan penggunaan teknologi dan inovasi yang menyeluruh. Pengetahuaan yang diberikan amatlah penting dalam memastikan kerjasama yang berterusan dapat diberikan dalam menjadikan penggunaan teknologi dan inovasi sebagai rutin harian dalam bidang pendidikan.
    Selain itu juga, penyelidikan yang menyeluruh perlu dijalankan oleh pihak-pihak berkaitan. Ia perlu sebelum penggunaan teknologi dan inovasi dapat dijadikan rutin harian dalam bidang pendidikan. Penyelidikan yang dijalankan perlulah melitupi setiap aspek-aspek penting dalam bidang. Ini penting kerana penyelidikan yang dijalankan dapat merungkai kebaikan dan keburukan penggunaan teknologi dalam pendidikan. Setiap sudut positif dan negative perlu diambil kira bagi memastikan keberkesanannya.

    ReplyDelete
  3. Salam.
    Pada pandangan saya,bidang pendidikan sememangnya perlu menggunakan dan mengaplikasikan teknologi dalam pembelajaran dan pengajaran supaya bidang keguruan menjadi lebih menarik dan berinovasi. Walaupun terdapat banyak cabaran, namun apa yang pasti semua bidang termasuk bidang pendidikan seharusnya bergerak selaras dengan era globalisasi yang semakin moden dan canggih ini agar para pelajar dapat dibentuk untuk menjadi pelajar yang cemerlang dari segenap sudut ilmu yang dipelajari.

    NUR MUNIRAH BINTI OTHMAN (A127319)

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum.

    Saya sangat bersetuju dengan saudari. Cabaran sememangnya sesuatu yang tidak dapat dielakkan apabila sesuatu pembaharuan hendak dilakukan. Kebijaksanaan adalah sangat penting dalam mengatasi situasi sebegini. Di sini saya ingin menambah antara cabaran lain yang dihadapi dalam meningkatkan penggunaan teknologi di kalangan guru untuk kebaikan masa depan.

    Antara cabaran termasuklah "consumer resistance" di mana guru itu sendiri enggan berubah mengikut peredaran masa dan terlalu taksub dengan penggunaan teknik mengajar yang boleh dikatakan kurang relevan lagi untuk mendidik pelajar yang kini sudah banyak terdedah dengan bahan pengajaran yang berteraskan teknologi.

    Sebagai kesimpulan, tidak kira apa juga cabaran yang mendatang, tanggungjawab harus terus dipikul oleh setiap golongan masyarakat untuk memastikan penggunaan teknologi yang maksima di setiap sekolah di Malaysia. Ini penting bagi memastikan taraf pendidikan negara mencapai tahap yang terbaik setanding dengan institut pendidikan di negara-negara yang telah membangun.

    SITI INA SHAKINAH JUSTIN @ MOHD AMAN
    (A127478)

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum.
    Sejajar dengan kemajuan globalisasi yang semakin pesat,pengunaan teknologi juga turut tidak ketinggalan dalam fenomena ini.Ini menjadikan masyarakat kita perlu menghadapi cabaran yang bakal mendatang dengan mengambil langkah yang lebih proaktif bagi menjamin pengunaan teknologi yang dapat memberi impak positif terhadap rakyat serta pembangunan negara ke arah lebih pesat.
    Semua pihak seharusnya perlu memainkan peranan mereka dalam menghadapi cabaran ini.Sikap menunding jari perlu dihapuskan agar cabaran ini dapat dipikul bersama-sama dan dapat dihadapi dengan jayanya.
    NURSUNIARYATI BTE JEPON
    A127501

    ReplyDelete
  6. assalamualaikum..
    Saya bersetuju dengan pendapat yang mengatakan guru perlulah menambah ilmu dalam teknologi. sebagai seorang guru, seseorang itu perlulah mengetahui perkembangan teknologi semasa bagi memastikan sesuai dengan apa yang diajar dan supaya pelajar tidak berasa bosan. tugas sebagai guru yang juga merupakan role model kepada pelajar perlulah menunjukkan contoh yang baik..

    NURUL FATIHAH BT SALAH HUDDIN
    A127495

    ReplyDelete
  7. Pada pendapat saya, saya amat bersetuju dengan cabaran kedua dan ketiga di atas. Ini disebabkan oleh kebanyakan pensyarah di universiti adalah dalam golongan umur 40-50. Golongan ini kebanyakan boleh dikatakan sebagai buta IT. Mereka akan menghadapi banyak masalah dalam menggunakan ICT ini. Mereka akan cepat putus asa yang rasa geram sebab penggunaan ICT adalah perkara yang pening kepada mereka.

    Chuah Sun Chin (A129759)

    ReplyDelete
  8. saya amat bersetuju bahawa teknologi akan mendominasi kebanyakan bidang dalam dunia ini pada masa depan. oleh itu, generasi sekarang harus menguasai kemahiran penggunaan teknologi supaya kerja menjadi lebih senang dan mudah untuk dijalankan. selain daripada peranan guru, ibu bapa juga memainkan peranan yang amat penting dalam membantu anak anak menguasai kenahiran teknologi. ibu bapa harus sediakan komputer dan menggalakkan anak anak untuk belajar menggunakan bahan teknologi. tetapi, ibu bapa perlu memantau anak anak untuk memastikan bahan teknologi digunakan dengan betul.

    CHIN HERN HUI (A130444)

    ReplyDelete